Bismillahirrahmanirrahim
Alhamdulillah Allah beri saya peluang bangun pagi ini untuk sentiasa bersyukur dengan nikmat-nikmat yang Dia kurniakan. Subhanallah.
Semoga hari ini lebih diberkati daripada hari semalam. Semoga tidak ada dosa yang berat yang dilakukan sepanjang hari ini dan hari-hari yang mendatang. Kalau boleh semoga tidak ada dosa langsung yang dilakukan. Tapi itu mustahil. Kita manusia biasa. Kita bukan maksum.
“Semua anak Adam itu bersalah dan yang paling baik orang yang melakukan kesalahan ialah mereka yang bertaubat (daripada kesalahannya).” (H.R Tirmidhi dan Ibn Majah)
Setiap hari yang berlalu mesti ada je dosa yang kita buat. Tapi membuat dosa itu pilihan kita. Sama ada kita memilih untuk berseronok di dunia atau menahan nafsu dan membatalkan niat nak berseronok. Petua nak hilangkan nafsu sentiasa nak berseronok di dunia? Sebelum buat apa-apa ingat Allah, ingat hari akhirat.
“Satu hari yang padanya tiada jual beli dan tiada persahabatan dan juga syafaat (pengantaraan). Dan orang-orang yang tidak percaya, merekalah orang-orang yang zalim” (Al-Baqarah: 254)
Ya. Di akhirat nanti kita dah tak peduli siapa kawan kita. Siapa yang dulu rapat, selalu tolong kita, selalu ajak kita berseronok takkan ada dengan kita. Kenapa? Sebab masing-masing sibuk dengan diri sendiri. Masing-masing baru nak menyesal dengan apa dosa yang pernah dia lakukan. Waktu itulah semua manusia nak salah menyalahi antara satu sama lain. Si fulan cakap kita yang selalu ajak dia buat maksiat. Kita pulak cakap dia yang rela malah dia sebenarnya yang nak sangat buat maksiat. Betapa teruknya hari akhirat. Masing-masing nak menyelamatkan diri sendiri. Sebab itulah kita kena mementingkan maslahat akhirat daripada maslahat dunia. (Fiqh Awlawiyyat)
“Sekiranya kamu bersahabat dengan orang soleh sebenarnya akan menguntungkan dirimu. Ini kerana dia akan sentiasa menjagamu, baik ketika kamu sedang berada dekat dengannya, mahupun ketika kamu sedang jauh darinya.” – kata-kata yang saya ambil dari buku Jauhilah Para Musuhmu karya Dr. `Aidh Abdullah Al-Qarni. MasyaAllah. Betapa ramai sebenarnya antara sahabat kita yang mampu menjadi musuh kita tanpa kita sedari. Malah, mungkin kita juga mampu menjadi musuh mereka. Subhanallah.
Istighfar sekejap. Mungkin ramai sahabat-sahabat saya yang rosak sebab saya. Mungkin sepanjang persahabatan betapa banyak pengaruh buruk yang dah saya serapkan dalam diri mereka. Mungkin juga sepanjang persahabatan saya tak pernah menunjukkan akhlak muslimah yang sebenar. Subhanallah. Ampuni dosa hambaMu yang lemah ini ya Allah.
Teringin benar saya nak menjadi sahabat yang menjadi sumber inspirasi insan yang lain untuk mendekatkan diri dengan Allah. Ingin menjadi qudwah hasanah (contoh yang baik). Tapi sangat jauh lagi cita-cita saya tu. Sangat jauh. Kefahaman saya tentang Islam masih cetek. Tapi saya yakin dengan kata-kata:
“Siapa yang dikehendaki Allah mendapatkan kebaikan, Allah akan memberikannya kefahaman dalam agama.” (H.R Bukhari dan Muslim)
Semoga Allah memberikan saya kefahaman dalam agama, agar saya dapat berdakwah. Bi'ithnillah.
Sejak saya ambil keputusan untuk berhijrah hanya kerana Allah dan bukan sebab duniawi, Alhamdulillah Allah buka pintu-pintu kebaikan untuk saya. Saya berkenalan dengan akhawat yang sentiasa membimbing saya. Berusrah dengan akhawat yang bijak dalam agama. Mempunyai naqibah yang penyayang. Mempunyai sahabat yang sentiasa menyokong. Subhanallah. Betapa bertuahnya saya.
"Sesungguhnya orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, Kami akan tunjukkan mereka jalan-jalan Kami. Dan sungguh, Allah berserta orang-orang yang berbuat baik." (Al-Ankabut: 69)
Macam-macam cara Allah nak tunjukkan pada kita betapa Maha Penyayang nya Dia. Dia tak biar kita lalai. Bila kita decide untuk berhijrah ke arah yang lebih baik, Allah bukakan jalan. Fitrah manusia itu hanya pada Islam. Sama ada kita berusaha mencarinya atau tidak. Semua itu pilihan kita.
“Dan jiwa serta penyempurnaannya (penciptaannya) maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu jalan kefasikan dan ketakwaan. Sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa itu dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorkannya.” (As-Syams: 7-10)
No comments:
Post a Comment